Saturday, 14 April 2012

Perhimpunan Aman untuk Syria



Bismillahirrahmanirrahim 

                Pada 15 hingga 17 Mac yang lalu telah berlakunya Global March for Syria di seluruh dunia berikutan setahun revolusi kebangkitan rakyat Syria menentang kezaliman pemimpin diktator.  Di Malaysia, Global March for Syria ini lebih dikenali sebagai Perhimpunan Aman untuk Syria, dan telah berlangsung pada 16 Mac 2012.

            Perhimpunan Aman ini telah dianjurkan oleh 30 buah badan bukan kerajaan (NGO) dibawah Gabungan Selamatkan Syria (GSS).  Antara NGO yang terlibat adalah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia (PKPIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Syrian Student Association, Aqsa Syarif, Global Peace Malaysia (GPM), World Assembly of Muslim Youth (WAMY) Malaysia, dan lain-lain pertubuhan.

            Perhimpunan dimulakan dengan solat jumaat di surau bangunan Tabung Haji. Selesai sahaja doa selepas solat dibacakan, jeritan “Hidup, Hidup, Hidup Syria!” kedengaran. Peserta-peserta Perhimpunan kemudiannya telah berarak menyusuri Jalan Tun Razak menuju ke bangunan Kedutaan Syria  di Jalan U-Thant. Sepanjang perhimpunan tersebut, laungan  “Allahuakbar”, “Selamatkan Syria”, “Hancur Kezaliman” dan lain-lain lagi silih berganti kedengaran. Sejurus tiba di hadapan Kedutaan Syria, lima orang pemimpin dalam kalangan GSS yang telah dipilih iaitu Presiden GSS, Naim Jusri, Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Syiekh Ahmad, Timbalan Presiden IKRAM, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Setiausaha ABIM, Mohd Raimi Ab Rahim dan Pengerusi Biro Relawan HALUAN, Ahmad Fisal Mohd Saleh telah menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan Syria. Kemudian, Pengerusi GSS, Naim Jusri, membacakan isi kandungan memorandum yang telah diserahkan itu dihadapan wartawan. Isi kandungan utama di dalam memorandum tersebut antara lainnya menuntut:
1)    Kerajaan Syria mesti menghentikan serta-merta segala bentuk kezaliman dan pembunuhan ke atas rakyatnya.
2)    Kerajaan Syria mesti membenarkan bantuan kemanusian memasuki negaranya.
3)    Kerajaan Syria mesti membebaskan segera semua tahanan politik.
4)    Bashar Al-Assad mesti meletakkan jawatan serta-merta.
Selain daripada itu, Presiden GSS turut menyatakan pihaknya akan terus berusaha mengembleng tenaga dan berbincang mengenai pelan tindakan seterusnya dan mungkin akan menemui wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan berkunjung ke Malaysia tidak lama lagi. 

Selepas itu, perhimpunan diteruskan lagi dengan ucapan daripada Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad (Presiden IKRAM) yang turut membacakan semula isi kandungan memorandum tersebut, diikuti ucapan daripada Jufitri Joha (Naib Presiden Antarabangsa ABIM), Dr. Solehuddin (HALUAN), dan Wan Subki Wan Salleh (Pengerusi JK Antarabangsa IKRAM).

Perhimpunan diakhiri dengan Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom (Timbalan Presiden IKRAM) membacakan doa rabitah sebelum perhimpunan bersurai.
            

No comments:

Post a Comment