Saturday, 14 April 2012

Maulidur Rasul Celebration, Folllowing The Footstep of The Prophet closing ceremony


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, telah sampainya kita di penghujung Maulidur Rasul Celebration, Folllowing The Footstep of The Prophet. Majlis Penutupan Maulidur Rasul Celebration telah diadakan di Kampus Utama Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS) pada hari khamis, 22 Mac 2012 bersamaan 29 Rabiulakhir 1433, bermula dari pukul 7.30 malam hingga 10.30 malam.

Para pelajar dan pensyarah mula berhimpun di lobi Kampus Utama CUCMS pada pukul 7.30 malam. Para pelajar disarankan untuk berwuduk dahulu. Azan yang dilaungkan menandakan masuknya waktu Magrhib. Para hadirin dihidangkan dengan kurma dan air sirap sebagai menghormati waktu berbuka puasa kemudian langsung solat Magrib berjemaah di hadapan auditorium CUCMS yang diimamkan oleh Ust Hassanuddin. Setelah selesai solat, Ustaz Hassanuddin telah memberi sedikit kata-kata semangat dan penghargaan kerana para hadirin yang hadir telah diizinkan oleh Allah berkumpul bersama-sama, meraikan bersama hadirin yang berpuasa. Ustaz menambah lagi, hari tersebut merupakan hari gelap, ust mengajak para hadirin untuk sama-sama berdoa agar CUCMS akan terus berjaya menjadi cemerlang dan persaudaraan antara warga CUCMS bertambah kuat. Usai solat magrib pada pukul 8.00 malam, hadirin dijemput untuk sama-sama iftar berbuka puasa di cafe CUCMS. Alhamdulillah, ramai yang bersedekah kuih muih ketika itu.

Setelah itu, para pelajar dikehendaki berkumpul di auditorium CUCMS. Tepat 8.40 malam, ketibaaan Presiden CUCMS Leftenan General Dato' Seri Prof Dr. Sulaiman Abdullah bersama-sama pensyarah diiringi Presiden PPIM, Mohammad Helmi dan wakil KiC, Syukri M.Sapuan. Majlis penutupan dikemudiikan oleh Mohd Redzuan. Majlis bermula doa, diketuai oleh Mohd Syafiq dan alunan ayat Al-quran Surah Al-Imran, oleh Muhammad Ammar Abd Wahab. Selepas itu, ucapan alu-aluan oleh Presiden CUCMS  Leftenan General Dato' Seri Prof Dr. Sulaiman Abdullah. Beliau berkongsi pengalaman belajar semasa bersekolah di Sekolah Alam Shah, bagaimana pelajar-pelajar ketika itu jahil tentang agama. Tambahnya lagi, ketika 1973, munculnya Anwar Ibrahim membawa kesederan terutama tentang Islam, keinsafan dan mulanya orang memakai tudung. Turut memetik dari hadith, bagaimana perlunya kita berusaha untuk menjadi salah satu kumpulan dari 71 kumpulan di akhirat kelak. Beliau turut mengupas isu semasa dan kejahilan muslim tentang Islam itu sendiri. Antara kata-kata beliau, kita tidak tahu orang membuat kebaikan, jadi jangan melabelkan orang lain, segalanya hanya allah sahaja yang tahu.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan ceramah daripada Ust. Hassanuddin . Ust mengungkapkan kejayaan kita menjadikan beberapa minggu suasana memperingati Rasulullah saw di CUCMS. Tambahnya lagi Rasulullah saw merupakan uswatun hasanah , sumber rujukan manusia. Mengambil teori Bandura, manusia mempunyai budaya meniru, patutnya muslim menjadikan Rasullullah saw sebagai contoh. Mengupas kerluan dan kepentingan berfikir, menjadikan Rasulullah saw sebagai contoh yang telah berfikir tentang baik dan buruk sesuatu perkara perbuatan zaman jahiliyah sebelum turunnya wahyu. Ia adalah peluang yang diberikan Allah swt kepada Rasulullah saw supaya sentiasa mencari dan berfikir. Sinonimnya, ia mengajak umat Islam agar sentiasa berfikir dengan melihat, menilai dan membuat keputusan tentang sesuatu. Itulah yang telah cuba diterapkan kurikulum CUCM iaitu  Student-centred Team-based Learning (SCTL).  Selain itu, mengupas tentang isu kepimpinan, bahawa pemimpin sepatutnya menyokong kebenaran dan kebaikan tidak kira sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang, membela rakyat dan mengamalkan amar makruf nahi mungkar. Mengulang kembali kepentingan berfikir, seruan IQRA yang bukan sahaja ditafsirkan sebagai baca tetapi turut memberi makna mengkaji, meniliti dan memahami. Amalan ini perlu ada dalam diri mahasiswi dan jangan terus menghukum. Turutkan diceritakan Rasullullah berdakwah. Petikan ayat “aiyuhannas angkizu anfusakum minannar”, wahai manusia selamatkanlah diri kamu dari api neraka. Ia mengajak manusia untuk berfikir.  Islam datang telah menyatukan masyarakat Arab dan merupakan satu penyelesaian. Membawa kekuatan dari segala aspek. Peringatan daripada ustaz, jangan sesekali kita mengangap diri kita lebih baik daripada orang lain.

Majlis kemudian diserikan dengan lantunan nasyid Jalan Masih Panjang,dinyayikan oleh Prof Latif dan pelajar CUCMS. serta penyampaian sirah Nabi Muhammad saw oleh Maisarah Zulkifly dan Fatimah yang menceritakan cintanya Rasul pada umatnya, dan saudara Rasullullah saw merupakan umat yang mencintai dan mengamalkan sunnahnya tetapi tidak pernah melihat Rasulullah saw. Sirah di akhiri dengan nasyid zikir. Pada pukul 10.00 malam, dipaparkan video tentang Sunnah CUCMS project , kemudian diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan melukis poster, snake and ladder, crossword puzzle dan video. Sebelum berakhirnya majlis pada pukul 10.15 malam, dimainkan video klip juara pertandingan video, Farah Sabrina yang menceritakan kemakmuran dan keharmonian mengamalkan sunnah.



Perhimpunan Aman untuk Syria



Bismillahirrahmanirrahim 

                Pada 15 hingga 17 Mac yang lalu telah berlakunya Global March for Syria di seluruh dunia berikutan setahun revolusi kebangkitan rakyat Syria menentang kezaliman pemimpin diktator.  Di Malaysia, Global March for Syria ini lebih dikenali sebagai Perhimpunan Aman untuk Syria, dan telah berlangsung pada 16 Mac 2012.

            Perhimpunan Aman ini telah dianjurkan oleh 30 buah badan bukan kerajaan (NGO) dibawah Gabungan Selamatkan Syria (GSS).  Antara NGO yang terlibat adalah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia (PKPIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Syrian Student Association, Aqsa Syarif, Global Peace Malaysia (GPM), World Assembly of Muslim Youth (WAMY) Malaysia, dan lain-lain pertubuhan.

            Perhimpunan dimulakan dengan solat jumaat di surau bangunan Tabung Haji. Selesai sahaja doa selepas solat dibacakan, jeritan “Hidup, Hidup, Hidup Syria!” kedengaran. Peserta-peserta Perhimpunan kemudiannya telah berarak menyusuri Jalan Tun Razak menuju ke bangunan Kedutaan Syria  di Jalan U-Thant. Sepanjang perhimpunan tersebut, laungan  “Allahuakbar”, “Selamatkan Syria”, “Hancur Kezaliman” dan lain-lain lagi silih berganti kedengaran. Sejurus tiba di hadapan Kedutaan Syria, lima orang pemimpin dalam kalangan GSS yang telah dipilih iaitu Presiden GSS, Naim Jusri, Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Syiekh Ahmad, Timbalan Presiden IKRAM, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Setiausaha ABIM, Mohd Raimi Ab Rahim dan Pengerusi Biro Relawan HALUAN, Ahmad Fisal Mohd Saleh telah menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan Syria. Kemudian, Pengerusi GSS, Naim Jusri, membacakan isi kandungan memorandum yang telah diserahkan itu dihadapan wartawan. Isi kandungan utama di dalam memorandum tersebut antara lainnya menuntut:
1)    Kerajaan Syria mesti menghentikan serta-merta segala bentuk kezaliman dan pembunuhan ke atas rakyatnya.
2)    Kerajaan Syria mesti membenarkan bantuan kemanusian memasuki negaranya.
3)    Kerajaan Syria mesti membebaskan segera semua tahanan politik.
4)    Bashar Al-Assad mesti meletakkan jawatan serta-merta.
Selain daripada itu, Presiden GSS turut menyatakan pihaknya akan terus berusaha mengembleng tenaga dan berbincang mengenai pelan tindakan seterusnya dan mungkin akan menemui wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan berkunjung ke Malaysia tidak lama lagi. 

Selepas itu, perhimpunan diteruskan lagi dengan ucapan daripada Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad (Presiden IKRAM) yang turut membacakan semula isi kandungan memorandum tersebut, diikuti ucapan daripada Jufitri Joha (Naib Presiden Antarabangsa ABIM), Dr. Solehuddin (HALUAN), dan Wan Subki Wan Salleh (Pengerusi JK Antarabangsa IKRAM).

Perhimpunan diakhiri dengan Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom (Timbalan Presiden IKRAM) membacakan doa rabitah sebelum perhimpunan bersurai.
            

Saturday, 7 April 2012

Crisis in Palestine and Syria : Get the facts!

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnianya dapat kita menyempurnakan program bagi mendapatkan maklumat yang betul mengenai apa yang  sebenarnya terjadi di Palestin. Program tersebut telah diadakan di Kampus Utama Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) pada hari Selasa, 27hb Mac 2012, bermula pukul 7.45 malam sehingga 10.15 malam.

Para pelajar dan pensyarah mula berkumpul di Auditorium pada pukul 7.45 malam. Pada malam tersebut, berlaku sedikit kelewatan kerana berlaku masalah teknikal dan juga kelewatan penceramah. Majlis berlangsung secara rasminya tepat jam 8.20 malam, dan dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Muhammad Ammar bin Abdul Wahab, pelajar Perubatan Tahun 2. Dalam doa tersebut, beliau memohon agar semua Umat Islam diselamatkan daripada segala bencana, kecaman daripada golongan yang zalim.

Selesai bacaan doa, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, yang merupakan penceramah utama untuk program ini, dan beliau juga merupakan Pengerusi Aqsa Syarif. Pada permulaan ucapan, beliau memberitahu bahawa pada malam tersebut, beliau hanya akan mengutamakan apa yang berlaku di Palestine dan untuk Syria, perlu dibuat di hari lain kerana kesuntukan masa. Beliau memulakan sesi pada malam itu dengan tayangan video yang menunjukkan situasi sebenar di Palestin. Seikhlas hati, video tersebut sangat menyayat hati kerana pihak Zionis dengan kejam dan mudahnya membunuh umat Islam di Palestin dan mereka menumpukan kepada golongan kanak–kanak yang merupakan generasi utama di masa hadapan. Terdapat tujuan tersembunyi disebalik muslihat itu.

Sejurus selepas itu, beliau meneruskan sesi dengan berkongsi mengenai sejarah bagaimana terbentuknya negara Israel dan perkara yang berlaku di Palestin. Sesungguhnya, perkara yang telah dilakukan oleh pihak Zionis tidak berperikemanusiaan kerana mereka membunuh manusia dengan sesuka hati, merampas tanah hak milik rakyat Palestin, mengebom kediaman dan sebagainya. Semua umat manusia perlu sedar akan kekejaman ini, bukan sekadar atas dasar keagamaan, tetapi juga atas dasar kemanusiaan. Ibu mana yang tidak menangis apabila kehilangan anak tercinta, anak mana yang mampu hidup tanpa kedua ibubapa mereka disisi. Hanya Allah yang tahu dan faham kesengsaraan mereka disana. Namun begitu, dalam video yang ditunjukkan pada awalnya, terdapat 3 orang kanak-kanak yang telah kehilangan kedua ibubapa mereka kerana kekejaman pihak Zionis. Mereka telah ditanya apakah cita-cita mereka untuk masa hadapan. Dan jawapan yang telah diberikan mereka masing-masing ialah doktor, peguam. Mereka memilih kerjaya tersebut kerana mereka ingin mendapatkan balik tanahair tercinta mereka dan menyelamatkan saudara-saudara mereka yang cedera. Itu menunjukkan kekuatan hati dan semangat mereka untuk melawan pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menceroboh tanah mereka.

Ucapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor telah tamat pada pukul 10.10 malam. Majlis diteruskan dengan sesi ‘Q & A’. Para pensyarah dan pelajar telah bertanyakan soalan yang masih tidak jelas mengenai Palestin. Seterusnya, majlis diserikan dengan nyanyian nasyid iaitu ‘Intifada’ dan juga ‘Merah Saga (Palestin). Majlis diakhiri dengan jamuan ringan yang telah disediakan oleh pihak penganjur pada malam itu.

Terdapat beberapa komen yang diterima daripada pelajar yang mana menekankan mengenai ketepatan masa dan juga masalah teknikal kerana serba sedikit masalah tersebut menganggu kelancaran majlis. Selain itu, pihak penganjur juga perlu memikirkan mengenai promosi yang lagi hebat untuk menarik lebih ramai pelajar, pensyarah mahupun staf menyertai program-program seperti ini, seterusnya dapat meningkatkan lagi kesedaran terhadap apa yang berlaku di seluruh dunia.


Snake and Ladder Game

Permainan”snake and ladder” ialah permainan popular untuk mengisi masa lapang pada zaman kanak kanak. Penganjur Bulan Maulidur Rasul mengambil konsep permainan “snake and ladder”  ini dan menjadikan ia satu permainan yg informative dan juga kompetetif.

Setiap peserta perlu membaling dadu untuk meneruskan permainan, apabila tiba di kotak “ladder” atau “snake”, pemain akan ditanyakan soalan tentang Sirah Nabawiyyah. Betul atau salah menentukan nasib pemain untuk bonus menaiki “ladder” atau penalti “snake”.   

Soalan yang diajukan berkisar tentang Sirah Nabawiyyah, contohnya seperti nama ibu susuan Rasullullah, Masjid pertama dibina oleh Rasululllah, dan soalan yang berkisar tentang titik titik penting dalam perjuangan Rasullullah dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah

“Soalan yang kami tanya hanyalah soalan “basic” atau “must know” tentang Sirah Nabawiyyah”, kata pihak penganjur dalam menerangkan objektif permainan itu.

“Oleh kerana bilangan peserta diluar jangkaan, kami pihak penganjur terpaksa bertungkus lumus membuka buku Sirah untuk menambah bilangan soalan”, anjur mereka lagi.

“Program sebeginilah yang akan menyedarkan kita tentang sedalam mana pentingnya menghayati dan memahami Sirah Nabawiyyah. Masih ada peserta yang tidak dapat menjawab walaupon soalan soalan asas sirah”, komen pihak penganjur pada akhir permainan “snake and ladder”.

Akhir kata, permainan anjuran PPIM dengan kerjasama KIC ini adalah satu langkah untuk kita muhasabah kembali sedalam mana kita mengetahui, menghayati dan memahami sirah perjuangan dakwah rasulullah. Terbukti idea unik penyampaian sirah ini mendapat respon yang baik dari penyertaan yang ramai sekaligus membuka mata para pendakwah tentang keadaan umat sekarang yang masih lagi cetek dan tidak menghayati Sirah Rasulullah. Wallahua’lam


Syria Timeline 3





by Alia Nadhirah

Syria Timeline 2




by Alia Nadhirah

Syria Timeline 1




by Alia Nadhirah